Makhluk-makhluk Allah itu bergembira kerana mengetahui betapa besarnya rahmat Allah buat umat Muhammad SAW. Tidak hairanlah jika makhluk-makhluk itu bergembira. Ini kerana makhluk-makhluk itu sentiasa bertasbih kepada-Nya.
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." (Surah Al-Isra', ayat 44)
namum begitu, bukan semua makhluk bergembira saat fajar Ramadhan datang menjelma. Ada yang berasa sangat susah, malah berduka. Mereka adalah syaitan dan golongannya. Syaitan berduka kerana tahu bahawa selama Ramadhan, rahmat Allah yang tercurah buat umat Muhammad SAW adalah luar biasa.
Syaitan tahu bahawa pintu keampunan-Nya terbuka luas di bulan Ramadhan. Syaitan sedar bahawa jika umat Muhammad berpuasa, puasanya diterima. Maka sia-sialah pekerjaan syaitan selama bertahun-tahun untuk mengelincirkan manusia.
Syaitan tahu dosa-dosa manusia akan dihapuskan, sehingga manusia keluar dari bulan Ramadhan laksana bayi yang baru lahir, tiada dosa. Syaitan menengis kerana dengan demikian, manusia terbebas dari siksa neraka.
Syaitan tahu bahawa puasa merupakan senjata bagi manusia untuk mematahkan sumpah syaitan yang akan mengelincirkan manusia. Syaitan susah kerana ia tahu dengan puasa Ramadhan, makin banyak hamba-Nya yang tercatat sebagai calon penghuni syurga.
Bagaimana pun realiti umat manusia menyambut kedatangan bulan Ramadhan adalah berbeza-beza. Sedar atau tidak, manusia pasti akan masuk ke dalam salah satu dari tiga golongan ini :
1. Orang-orang yang bergembira menyembut fajar Ramadhan. - Mereka ini adalah orang-orang beriman yang lurus imannya. Bahkan mereka ini telah lama rindukan kehadiran bulan Ramadhan. Mereka berharap dapat meneguk jamuan Allah di bulan ramadhan. Jamuan rohaniah yang istimewa, yang disediakana bagi hamba-hamba yang akan diselamatkan_Nya. Diselamatkan dari seksa api neraka dan disediakan jaminan Syurga.
2. Golongan pertengahan - Mereka adalah orang-orang yangf seimbang antara perbuatan baik dan mungkar selama Ramadhan. Puasa mereka juga pertengahan. Secara jasad mereka berpuasa, tetapi rohaniahnya kurang menyertainya. Puasa dikerjakan, maksiat juga tetap jalan. Mereka berpuasa, tetapi tidak melepaskan dari dari kemungkaran dan kemaksiatan.
3. Golongan yang tidak menyukai kehadiran Ramadhan - Golongan ini sudah pasti diserang virus Iblis dan Syaitan. Meraka berasa bulan Ramadhan akan menghalang aktiviti dunianya, aktiviti jasadnya. Mereka tidak peduli rohaniah diri gelap bertumpuk salah dan dosa. Dosa pengingkiran, kemaksiatan dan pelbagai kezaliman. Golongan ini tidak sedar betapa beratnya beban dosa yang dipikul roh sendiri. Tidak sedar dalam kelam dan gelap gelitanya roh diri. Mereka ini sesungguhnya tidak lebih dari menganiaya diri mereka sendiri.
Penggolongan kategori menyambut Ramadhan merujuk kepada Firman Allah ; " Kemudian Kami jadikan Al-Qur'an itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dikalangan hamba-hamba Kami. Maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirnya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran al-Qur'an) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)." (SurahFathir, ayat 32).
Di saat Ramadhan ini, Ada satu pertanyaan yang mesti kita jawab di dalam hati kita. " Diri ini termasuk dalam golongan mana?" Apakah termasuk dalam golongan pertama, kedua atau ketiga?
Kita sudah mengetahui betapa besarnya rahmat Allah. Serlahkan kegembiraan hati tatkala menyambut Ramadhan. In Shaa Allah rahmatnya akan memasuki hati kita.
Label: Santapan Rohani
Catat Ulasan