Kepimpinan yang unggul dan berintegriti merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran dalam kepimpinan serta perwatakan peribadi boleh mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi. Keluhuran dan keperibadian itu juga dapat mencerminkan sikap dan perwatakan orang bawahannya.
Islam amat menitikberatkan asperk kepimpinan yang memeiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merialisasikan asas kepimpinan ini iaitu Rasulullah SAW.
Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sesebuah negara dan bertanggungjawap penuh ke atas pelaksanaannya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat arab menggelarnya Al-Amin.
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud: "Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya." (HR Al-Bukhari).
Juteru, jawatan pemimpin hanya layak disandang oleh orang yang benar-benar amanah, mempunyai kekuatan, kemampuan, kemahiran dan ketahanan dalam soal kepimpinan. Kelayakan ini paling penting bagi pemimpin organisasi.
Mengasihi dan mengambil berat - Pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang yang dipimpin, menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan berbanding dengan kepentingan peribadi. Oleh itu, setiap pemimpin perlu mempunyai visi dan misi untuk kepentingan semua pihak. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksible, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan apa yang dilakukan.
Tidak sekadar berjanji. - Pemimpin yang baik memahami kebenaran dan kesan terhadap setiap yang diucapkan. Firman Allah bermaksud: "Wahai Daud! Sesungguhnya Kami telah jadikan kamu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum (undang - undang) antara manusia dengan (hukum Syariat) yang benar (yang wahyukan kepadamu), dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah Shad: 26).
Pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji palsu. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia bersifat kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran. sesiapa yang berjanji sedangkan mengetahui tidak mampu melaksanakan apa yang dijanjikan itu adalah seburuk-buruk sifat pemimpin. Mereka melakukan sifat orang munafik yang berpura-pura baik sedangkan dalam hatinya tersimpan niat jahat.
Sanggup menerima kritikan - Satu sifat mulia yang perlu dimiliki oleh pemimpin ialah sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan. kritikan merupakan satu cara untuk memperbaiki kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin.
Kedudukan pemimpin amat penting sebagai tunjang kekuatan kepada organisasi. tanpa pemimpin yang berhemah, beribawa dan berwawasan akan mengakibatkan organisasi tidak mampu berkembang sdan tidak mendatangkan kebaikan kepada ahli-ahlinya. Jawatan yang disandang adalah satu bebanan amanah berat yang perlu dilaksanakan.
Mengelak dari sikap mementingkan kroni - Pemimpin yang baik juga perlu mengelak daripada mengamalkan sikap mementingkan kroni. sepatutnya semua orang bawahan harus dilayan sama rata. tidak ada golongan yang mendapat keistimewaan atau diberi keutamaan untuk mendapat sesuatu yangbukan haknya.
Dalam hal ini, pemimpin tawaduk tidak runsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada kroni. Pemimpin yang mengamalkan kroni biasanya tidak mempunyai kekuatan sendiri. jadi terpaksalah memberi keistimewaan kepada kroninya agar dia terus mendapat sokongan.
Justeru, sikap pemimpin yang beribawa tidak takut kehilangan populariti disebabkan menjalankan amanah dengan tegas, sebaliknya dia lebih takut kepada pembalasan Allah berkaitan kecacatan kepimpinannya.
Sentiasa melihat dan menilai diri sendiri - sesungguhnya pemimpin yang baik akan sentiasa melihat dan menilai diri. memandangkan betapa beratnya tugas sebagai pemimpin, rasulullah SAW begitu teliti sebelum mengambil keputusan untuk melantik seseorang menjadi pemimpin. Perkara penting yang dinilai oleh Rasulullah ialah kleupayaan bakal pemimpin itu untuk melaksanakan tugas dan amanah.
Pemimpin yang terbaik berjaya menyatukan orang dibawah pimpinannya ke arah satu matlamat bersama dan mencapai kejayaan yang diharapkan.
Label: Lain-Lain
Catat Ulasan