Ramai
orang takutkan muflis di dunia, oleh sebab itu ramai yang berhati-hati
menguruskan kewangan peribadi agar tidak dikenakan tindakan yang boleh membawa
kepada dijatuhkan status muflis oleh mahkamah. Apabila jatuh muflis di dunia,
kesengsaraan amat dirasakan oleh mereka yang jatuh muflis. Segala harta-benda di
dunia diletakkan di bawah jagaan Jabatan Insolvensi. Penjualan dan pindahmilik
harta benda milik simuflis tidak boleh dibuat sehingga hutang-piutang
dilangsaikan iaitu baki jualan hanya boleh diperolehi selepas semua hutang
dengan pihak yang menuntut dibayar sepenuhnya oleh Jabatan Insolvensi. Si muflis
juga tidak boleh keluar negara kecuali dengan kebenaran Jabatan Insolvensi.
Semua permohonan pinjaman dengan institusi kewangan disekat melalui pengurusan
berpusat Bank Negara Malaysia.
Namun
begitu, tidak ramai yang takut muflis di akhirat kerana kesengsaraan sebagaimana
muflis di dunia tidak dirasakan kecuali selepas mati. Sementara hanya segelintir
umat manusia yang mengingati mati dalam bentuk yang sebenarnya iaitu dalam
bentuk yang memberi amaran dan peringatan tentang persediaan yang telah dibuat,
yang lain sekadar mengingati mati tapi tidak mengaitkan dengan persediaan yang
perlu dibuat untuk menampung segala keperluan di sana. Bila seseorang mati
mereka hanya ingat kesedihan keluarga simati yang ditinggalkan serta perasaan
kehilangan sanak saudara,sahabat handai rakan dan taulan, itu sahaja. Apabila
berada dalam keriangan nikmat dunia, manusia akan lupa kembali soal mati dan
menjadi alpa dalam hal kehidupan selepas mati.
Di akhirat, matawang yang digunakan bukan lagi matawang yang boleh dilihat dan dipegang sebagaimana matawang di dunia. Matawang itu berbentuk pahala kebajikan, amalan dan jasa baik yang dibuat di dunia. Matawang itu terkumpul sejak manusia lahir dan disimpan dalam akaun simpanan yang dijaga ALLAH dengan rapi tanpa ada ketirisan sedikit pun. Apabila mati matawanga ini masih terus dikreditkan ke dalam akaun simati tanpa pengetahuan si mati bagi amal jariah yang berbentuk harta yang dibelanjakan, ilmu yang diajarkan serta anak-anak yang soleh yang berterusan memberi manfaat kepada manusia yang tinggal di dunia. Bagi yang tiada amal jariah yang meninggalkan manfaat kepada manusia yang tinggal, baki akaunnya akan menjadi statik sampailah ke hari pembalasan iaitu hari akhirat yang bermula di Padang Mahsyar. Di akhirat, orang kaya raya adalah dari kalangan mereka yang beramal soleh di dunia, mereka mempunyai cukup “wang” untuk “membeli” apa sahaja yang enak dan lazat mengikut keinginan mereka yang tidak lagi boleh dibeli dengan matawang dunia. Sebaliknya orang kaya raya di dunia tapi tiada amal jariah adalah orang yang paling miskin di akhirat.
Sebenarnya
amat mudah untuk menjadi muflis di akhirat tanpa kita sedari. Kita rasa seperti
kita tidak melakukan perkara yang menyebabkan muflis di akhirat tapi dalam tidak
sedar ianya berlaku. Muflis di akhirat hanya berlaku disebabkan oleh perhubungan
sesama manusia. Ia tidak berlaku antara manusia dengan ALLAH kerana ALLAH maha
pengasih dan maha penyayang lagi maha pengampun. Manusia dikala itu tercari-cari
siapa orang-orang yang berdosa kepada mereka yang boleh mereka tagihkan untuk
meningkatkan akaun pahala mereka buat menghadapi hari pertimbangan berat dosa
pahala. Manusia berkira-kira bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat kelak.
Apatah lagi dikala itu masing-masing kekurangan timbangan berat pahala untuk
membolehkan manusia melintasi titian siratulmustaqim yang digunakan sebagai
alatan penapis manusia yang lulus ujian dunia dengan yang gagal ujian dunia.
Kehidupan di dunia adalah satu kenikmatan yang ALLAH berikan kepada manusia buat
sementara bagi yang sihat, kaya, berkuasa dan cantik atau kacak. Namun bagi yang
mendapat sebaliknya, bagi manusia itu adalah satu kesedihan atau kesengsaraan
sehingga ada yang sampai ke tahap lebih rela mati dari hidup. Walau apa pun
perasaan akibat dari kehidupan dunia, ianya semua adalah ujian tuhan kerana
tuhan ingin menganugerahkan satu kehidupan lain yang beribu kali malah berjuta
kali ganda lebih besar nikmatnya berbanding penghidupan dunia.
Dalam
kehidupan duniawi ALLAH menguji manusia dalam pelbagai hal bagaimana mereka
mempergunakan dan menerima kenikmatan atau kesengsaraan yang ALLAH telah jadikan
untuk mereka. Adakah mereka menjadi terlalu tamak sehingga sanggup berbunuhan
atau menipu dan menzalimi antara mereka untuk merebut harta dan kesenangan. Atau
apakah mereka terlalu sombong dengan ketampanan mereka, kegagahan mereka,
kekuasaan mereka atau kecerdikan akal mereka, Atau kah mereka menjadi terlalu
gilakan seks sehingga memperbuat sewenang-wenangnya dengan alat kelamin mereka
atau menzalimi orang lain dengan alat kelamin mereka, adakah mereka sabar dengan
kesukaran yang di alami atau menyesali kejadian menimpa mereka, atau apakah
mereka cuba berfikir secara yang positif untuk mencari kebenaran hidup dan
mengenali ALLAH secara lebih dekat dan membuat amal yang soleh dan mencegah yang
mungkar serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada
kesabaran. Amaran pembalasan di akhirat di dalam Al-Quran adalah manifesto
dan janji ALLAH kepada keadilan yang tiada tolok bandingannya untuk setiap zarah
amalan manusia di dunia.
Sebagaimana
hadis nabi Muhammad s.w., yang bermaksud, “Baginda amat takut umat baginda
menjadi muflis di akhirat iaitu apabila seseorang membuat dosa kepada manusia
lain tanpa mendapat pembalasan yang setimpal di dunia atau dimaafkan oleh orang
yang dizaliminya, maka di akhirat pahala amalannya di dunia
akan diberikan kepada orang yang dizaliminya sebagai tebusan, dan sekiranya
pahala itu tidak mencukupi untuk menebus dosa tersebut, maka dosa orang yang
dizaliminya itu akan dilemparkan kepadanya”. Oleh itu marilah kita berwaspada
agar kita tidak menjadi muflis di akhirat. Antara penyebab yang berkemungkinan
besar boleh menyebabkan muflis di akhirat ialah dosa-dosa yang dilakukan kepada
banyak orang atau berterusan kepada seseorang atau berangkai, sebagaimana
berikut:-
1. Menzalimi
sesama manusia secara membuat satu keputusan yang tidak adil atau menzalimi
banyak orang. Ini biasanya dilakukan oleh orang yang memimpin kelompok manusia
lain seperti perdana menteri dan menteri atau pemimpin yang membuat dasar dan
polisi institusi atau negara yang tidak adil atau menzalimi orang banyak atau
rakyat.
2. Penjual
produk barangan atau perkhidmatan yang menipu orang ramai dengan dakwaan produk
jualannya baik tapi ia adalah sebaliknya atau jauh kurang dari apa yang di
dakwa.
3. Pengguna
internet yang menipu seluruh orang di dunia dengan fitnahnya yang disebarkan
melalui pelbagai laman web.Ini menyebabkan dosa berangkai yang berkemungkinan
menjadi kuantum yang infiniti selagi tidak memohon maaf kepada yang
difitnah.
4. Pengarang
fitnah atau artikel berunsur maksiat di mass media elektronik, surat khabar atau
bahan media cetak umum yang dibaca oleh seluruh warganegara.Ini juga adalah dosa
berangkai yang boleh mencapai nilai infiniti selagi tidak memohon maaf dan
berikhtiar memadamkan bahan tersebut dari tontonan umum.
5. Kezaliman
dalam peperangan yang melibatkan kematian, kecederaan atau kesengsaraan ramai
orang yang tidak berdosa atau yang tidak terlibat dalam peperangan bersenjata.
Ini berbentuk dosa kepada ramai mengikut bilangan yang terjejas.
6. Ahli-ahli
korporat yang mengambil peluang meraih keuntungan berpuluh atau beratus
lipatkali ganda dari hasil jualan atas dasar bahan komoditi tersebut adalah
keperluan yang mendesak atau bersifat monopoli.(Perniagaan dalam Islam
dibenarkan hanya keuntungan maksimum 100% sahaja). Ini juga berbentuk dosa
kepada orang ramai yang menggunakan produk atau perkhidmatan
tersebut.
7. Melakukan
kezaliman kepada orang yang sabar. Kerana mereka yang sabar tidak mengharapkan
pembalasan di dunia diberikan ALLAH kepada orang yang menzaliminya, lantas ia
tidak bersikap berdendam atau bertindakbalas, sebaliknya ia mengharapkan ALLAH
membalas kekejaman orang yang berbuat zalim kepadanya secara menukar atau
menebus dosa dengan pahala di akhirat. Akibat kesabarannya itu si pembuat dosa
akan mengambil peluang berterusan menzalimi beliau.
8. Menjadi
saksi palsu yang menyebabkan berlaku kezaliman ke atas orang lain yang mendapat
hukuman yang berat atau mendapat malu yang besar akibat dari kesaksian palsu
tersebut.
9. Hakim
yang membuat keputusan yang tidak benar dan adil yang menyebabkan kezaliman
dalam bentuk penghukuman yang berat dan memalukan tertuduh atau menyebabkan
terjadi kekeliruan pada tanggapan orang ramai terhadap tertuduh.
10. Menipu
orang yang “bodoh” atas sebab mengetahui kebodohan mereka boleh mendatangkan
keuntungan yang mudah. Orang yang “bodoh” ini tidak menyedari mereka ditipu,
tapi ALLAH memulangkan balik kerugian hasil dari penipuan tersebut dalam bentuk
tebusan pahala di akhirat yang diambil dari mereka yang menipu atau melemparkan
dosa orang-orang yang “bodoh” ini kepada mereka. (Nota: bodoh boleh kategorikan
kepada 3 jenis, 1. Betul bendul, 2. Sentiasa berprasangka baik, 3. Memang
mempunyai daya pemikiran atau IQ yang lemah)
11. Memperagakan
tubuh badan yang seksi dan membenarkan ianya ditonton orang ramai. Ini merupakan
dosa yang berganda mengikut bilangan orang yang menonton dan boleh menjadi
berangkai bilamana gambar yang ditontoni dipaparkan di laman web.
12.
Mencuri barang hak milik orang lain dalam nilai yang besar atau amat berharga
pada sipemilik, maka pahala yang dibayar apabila ditukar kepada nilai kehilangan
menjadi untuk ditebusi di akhirat amatlah besar sehingga sipencuri menjadi
muflis.
Ada
banyak lagi keadaan yang membolehkan seseorang itu muflis di akhirat. 11 contoh
di atas adalah sebahagian darinya yang boleh kita ambil sebagai peringatan.
Yang
benar itu dari ALLAH, dan yang salah adalah dari kejahilan dan kekilafan diri
saya sendiri. Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahiwabarokatuh.
Wallahuaklam
bissawab.Artikel : Prof. Madya Ir. Dr. abdul talib bin Din
Label: Agama
Catat Ulasan