Seorang anak mengadu kepada ibunya tentang kehidupan barunya di tempat kerja.

Dia baru tamat pengajian dan bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota.

Pelbagai perkara dirungutkannya; dari gaji yang kecil, kerja yang banyak, gosip rakan-rakan, sehinggalah kesesakan jalanraya yang dihadapinya setiap hari.

Ibunya hanya tersenyum sambil menguruskan dapur manakala naknya duduk di meja makan sambil meluahkan perasaan.

Sambil itu ibunya mengambil 3 periuk berisi air dan diletakkan dapur dan didihkan.


"Tolong ambilkan ibu sebatang lobak, sebiji telur dan serbuk kopi dari rak dapur." Kata ibu kepada anaknya.

Tanpa banyak soal si anak mengambil bahan yang diminta ibunya.

Kemudian si ibu mengambil lobak, telur dan serbuk kopi yang dibawa anaknya ke dalam periuk berasingan yang berisi air yang sedang mendidih.

Selang beberapa minit...

...Periuk pertama - lobak yang keras beransur-ansur menjadi lembut dan lembik.

...Periuk kedua - telur yang rapuh dan lembut, menjadi pejal dan keras.

...Periuk ketiga - Serbuk kopi menghilang dan sebati di dalam air dan mengeluarkan aroma yang harum dan segar.

"Lihat anakku," Si ibu memecah hening

"Air yang mendidih itu ibarat pancaroba dalam kehidupan ini." si ibu berkias.

Perjalanan Hidup

"Lobak, telur dan kopi menghadapi 'cabaran' dan 'masalah' yang sama, iaitu air yang panas mendidih, tetapi kesannya berbeza."

"Lobak asalnya keras dan kuat serta tidak mudah dipatahkan, tapi sekarang ia menjadi lembut dan rapuh sekali. Manakala telur yang asalnya rapuh dan cair di dalamnya sekarang bertukar kepada keras dan pejal di dalamnya. manakala kopi pula yang asalnya hanyalah serbuk, telah meresap ke dalam air dan mengubah warna air malah menghasilkan aroma yang enak."

"Mana yang kau pilih anakku?" tanya si ibu.

Sambil anaknya berfikir, si ibu meneruskan kiasannya.

"Ada orang yang seperti lobak. Asalnya kuat tapi apabila menghadapi cabaran dan pancaroba, dia menjadi semakin lemah dan lembik. Mereka menyerah kalah dengan kehidupan."


"Ada pula orang seperti telur, asalnya seorang yang lemah, lembut tetapi apabila berhadapan cabaran hidup, dirinya menjadi semakin keras dan kasar."

"Berbeza pula dengan orang yang seperti kopi. Ketika keadaan menjadi semakin getir dan pancaroba semakin panas, ia menjadi semakin baik malah berjaya mengubah sekelilingnya menjadi lebih baik. Bukan dirinya yang berubah tapi keadaan sekelilingnya yang berubah."

"Sekarang kau pilih sama ada untuk menjadi lobak, telur ataupun kopi..." si ibi menghabiskan bicara.

* Jadi sama-sama kita fikir apa yang akan kita pilih? sama ada 'lobak' atau 'telur' yang tewas dalam kehidupan ataupun 'serbuk kopi' yang berjaya mengubah sekeliling menjadi lebih elok dan baik.

Sumber : rileksantai