Katakanlah anda tiada pilihan lain selain daripada menjalankan perniagaan goreng pisang sebab itu saja yang anda tahu dan itu saja modal yang ada buat masa ini.

Setelah membuat segala persiapan dan telah kenal pasti lokasi, anda seeloknya perlu sediakan satu carta organisasi.


Pelik! takkan nak berniaga goreng pisang pun perlu buat carta organisasi?


Tapi kalau anda mahu perniagaan gorang pisang anda berkembang dan membuatkan anda jadi berjaya, anda perlu memulakan dengan cara yang betul. Jadi mari kita sediakan carta organisasi perniagaan pisang goreng kita :

  • Pengarah Urusan - Edy
    • Pengurus Jualan dan Pemasaran - Edy
    • Pengurus Operasi -  Edy
    • Pengurus Kewangan -  Edy
    • Pengurus Sumber Manusia -  Edy
4 urusan pengurusan yang disebutkan di atas merupakan tugasan yang perlu dilakukan oleh peniaga goreng pisang yang mahu berkembang dan bercita-cita tinggi. Dengan adanya carta organisasi tersebut peniaga goreng pisang, dalam kes ini Edy perlu menyediakan masa untuk berfikir dan mengembangkan setiap jabatan yang telah dibentuknya.

Urusan Jualan dan Pemasaran
Edy perlu sentiasa berfikir soalan kenapa orang perlu beli goreng pisangnya berbanding penjual goreng pisang lain. Apakah kelainan yang perlu dibuat untuk menarik jualan goreng pisangnya itu. Dia juga perlu mengenalpasti lokasi lain yang strategik bagi memasarkan goreng pisangnya.

Urusan Operasi
Edy perlu sentiasa memikirkan bagaimana dia boleh meringkaskan operasinya menjadi cekap dan kosisten berdasarkan matlamat yang mahu dicapainya berdasarkan stategi yang telah dirangka dalam jabatan jualan dan pemasaran di atas.

Urusan Kewangan
Edy perlu memikirkan bagaimana dia boleh menjana wang yang cukup untuk mengembangkan perniagaannya di tempat lain. Di mana dia boleh mendapatkan sumber kewangan jika tidak cukup dalam merealisasikan perkembangan perniagaannya.

Urusan Sumber Manusia
Edy perlu memikirkan bagaimana dia boleh merangka satu sistem yang berkesan bagi melatih pekerja goreng pisang yang cekap dan memenuhi keperluan perniagaan goreng pisangnya. Dia juga perlu memikirkan bagaimana boleh didapati sumber manusia bagi menjadi pekerjanya.

Pengarah Urusan
Edy perlu menggabungkan kesemua jabatan dibawahnya agar seiring dan cekap merealisasikan matlamat yang ada di dalam kepalanya.

Dengan melatih disiplin memikirkan kesemua perkara di atas, lambat laun perniagaan goreng pisang Edy akan berada di segenap pasaraya dan segenap ceruk rantau pekan yang ada di malaysia. Dia juga akan memenuhi permintaan penghantaran goreng pisang ke semua pejabat atau rumah di seluruh negara dan akhirnya edy di kenali sebagai jutawan goreng pisang!

Sumber : darikakigunungjerai