Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Dikesempatan ini AJK KeSURI memohon ampun dan maaf di atas segala khilaf yang telah dilakukan sepanjang tempoh lantikan. Sesungguhnya kami hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan kerana segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala yang buruk itu datangnya dari diri kami sendiri.
Pastinya ramai yang bercuti panjang sempena Aidilfitri kali ini berikutan cuti sekolah selama seminggu. Malah Kementerian Pendidikan telah memberikan tambahan cuti kepada pelajar sekolah sebanyak 2 hari bermula 16 dan 17 ogos 2012, namun cuti ini perlu diganti pada tarikh yang telah ditetapkan.
Sambutan hari raya tidak sempurna seandainya tidak pulang ke kampung samaada kampung sendiri mahupun kampung mertua. Dengan pengumuman kerajaan terhadap potongan bayaran tol di lebuhraya sehingga 38% sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos "balik kampung".
Bagi perjalanan yang jauh, anda perlu merancang perjalanan di samping membuat pemeriksaan kenderaan bagi mengelakkan terkandas diperjalanan.
Tidak lupa juga tahap kecergasan menjadi perkara penting untuk perjalanan jarak jauh. Dapatkan rehat yang cukup, sekiranya penat memandu anda perlu rehat sebentar di hentian yang disediakan serta membuat senaman ringan bagi mengekalkan kecergasan.
Suka diingatkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan "Ops Selamat" bagi menggantikan Ops Sikap yang bermula 12 hingga 26 Ogos 2012. Selain mengurangkan kadar kemalangan, Ops Selamat bertemakan Rumah Selamat, Selamat sampai ke Destinasi turut menekankan kepada keselamatan harta benda dan rumah yang ditinggalkan apabila pulang beraya di kampung.
"Tiket" atau lebih dikenali dengan surat saman pastinya sinonim dengan Operasi yang melibatkan pihak polis. Pandu dengan berhati-hati dan patuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Akhir kata terimalah serangkap dua pantun :
Lemah gemalai tuan puteri
Berkain Cindai cantik sekali
Pohon kemaafan di Aidilfitri
Moga ukhwah kakal abadi
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo toksir laju
Nati rayo dale sepita
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busuok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai
Label: Lain-Lain
Catat Ulasan