Salah satu sifat yang perlu ada pada setiap warga kerja ialah ikhlas kerana apa yang kita lakukan adalah melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.
Keikhlasan dalam bekerja sangat penting kerana ia dapat mempengaruhi budaya kerja seseorang individu. Ini kerana semua orang yang ikhlas akan ada sifat peduli untuk membantu rakan dalam memudahkan segala urusan serta akan sentiasa berusaha untuk memanfaatkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya dan akan memastikan segala perkara-perkara yang di asasi dan utama tidak diabaikan seperti kedatangan, komitmen, dedikasi, disiplin dan intergriti.
Selain itu, orang yang ikhlas akan sedaya upaya mengelakkan dari sikap berlengah-lengah atau sambil lewa dalam melaksanakan pekerjaan.
Sesungguhnya orang yang ikhlas bekerja kerana Allah SWT akan menerima tanggungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa bersungguh-sungguh bagi menghasilkan prestasi kerja yang terbaik. Kerja yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan membuahkan keberkatan dalam kehidupan.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Buhkari. Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh hasil sesuai dengan niatnya itu."
Disamping berkhidmat secara ikhlas dan menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah. Setiap pekerja juga dituntut supaya mentaati ketua atau majikannya yang juga merupakan Ulil-Amri kepada mereka.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa, ayat 59 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan Ulil_Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."
Selain itu, sifat sabra juga perlu ada pada setiap warga kerja. ini kerana orang yang bersifat sabra akan mempunyai ketahanan hati dan perasaan dalam menghadapi sebarang tekanan, desakan sekeliling atau menerima sebarang kesusahan. Pekerja yang sabar juga tidak mudah melenting apabila menerima kritikan dan tidak cepat marah didalam apa jua perkara. Sifat ini perlu ada dan diamalkan untuk menjadikan kita sentiasa tenang dan bersifat pemaaf.
Selaku warga kerja, tidak kira samaada ketua atau orang bawahan, hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab yang telah diberikan kerana Islam menuntut umatnya melaksanakan tanggungjawab yang merupakan satu suatu amanah dari Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfaal, ayat 27 : " Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui."
Oleh yang demikian, sama-sama kita berdoa agar kita menjadi pekerja yang ikhlas, kreatif, inovatif, produktif, tabah melaksanakan tugas dan cabaran serta dapat membawa masyarakat semua ke arah satu cara hidup yang terpuji dan diberkati. Mudah-mudahan segala pekerjaan yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala, diberkati dan memperoleh rahmat dari Allah SWT.
Label: Santapan Rohani
Catat Ulasan