Sebentar tadi telah berlangsungnya Tazkirah Jumaat bagi Bulan Februari 2013. Tazkirah pada kali ini adalah bertajuk Amalan Sunnah dan kelebihan Hari Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Aswanzie Abbyd. Seramai lebih kurang 50 orang staf yang mempunyai kelapangan masa telah hadir ke tazkirah tersebut.


Di awal tazkirah, beliau menerangkan kepada setiap sesuatu perkara atau perbuatan perlu berasaskan kepada 5 hukum asas iaitu wajib, sunat, makruh, harus dan Haram. 5 Hukum ini menjadi asas dalam kehidupan seharian terutama bagi umat islam. Cermin mata merupakan contoh yang diberikan oleh Y.Bhg. ustaz iaitu seseorang yang rabun wajib memakai cermin mata untuk melaksanakan aktiviti harian seperti membaca dan sebagainya.

Manakala pemakaian cermin mata hitam jatuh hukum harus sekiranya ketika memandu kenderaan yang boleh mengakibatkan kemalangan disebabkan silau mentari, tetapi jatuh hukum haram sekiranya si pemakai berniat untuk riak dan beranggapan akan kelihatan lebih cantik/hensem.

Selain itu, beliau turut membacakan beberapa hadis:

 " Solat di awal waktu; memperolehi keredhaan Allah, dan akhirnya mendapat keampunan Allah." (HR At-Tirmidzi tetapi Albani mengatakan Mawdhu).

"Apabila seseorang Islam menunaikan solat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari pokok." (HR Imam Ahmad).

Beliau juga berpesan agar jika solat seseorang itu perlu melakukannya dengan sempurna kerana ia melambangkan identiti Islam dan sekiranya dilakukan dengan tidak sempurna/ sambil lewa ia akan mendatangkan salah faham kepada bangsa lain.

Hari jumaat adalah antara hari-hari yang tercatat di dalam al-Qur'an selain dari hari sabtu dan hari ahad, malah terdapat satu surah iaitu Surah Al-Jumu'ah. Hari Jumaat mempunyai kedudukan tersendiri di dalam Islam, baik dari sisi keutamaan, sejarahnya dan juga amalan-amalan sunnah yang berlipat ganda pahalanya.

Allah SWT menjadikan hari tersebut sebagai hari raya mingguan bagi umat islam. Dari Ibnu Abbas ra, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya hari ini adalah hari raya, Allah SWT menjadikannya istimewa bagi kaum muslimin, maka barangsiapa yang akan mendatangi solat jumaat maka hendaklah dia mandi." (HR Ibnu Majah).

Banyak kejadian yang berlaku pada hari jumaat, dari Abi Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, "Hari terbaikterbitnya matahari adalah pada hari jumaat, pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu pula dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga (HR Muslim).

Hari jumaat adalah hari yang paling baik untuk berdoa. Waktu yang paling baik untuk berdoa ialah:

1.  Di antara 2 khutbah. Apa yang banyak diamalkan oleh kebanyakkan bilal ialah salawat dan bukannya doa yang perlu diaminkan oleh makmum. Setiap makmum boleh membaca doa sendiri, membacanya dalam bahasa yang difahami maksudnya dan doa harus ikhlas dari lubuk hati yang dalam.

2.  Di antara azan pertama dan sebelum imam membaca khutbah.

3.  Waktu asar sehingga maghrib

4.  Selesai solat jumaat sehingga sebelum waktu asar.