"Bacalah" merupakan perintah pertama yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Membaca adalah sumber ilmu. Ilmu adalah alat dalam penerimaan ibadat. Syariat yang disampaikan oleh Allah SWT adalah satu ilmu. Dan untuk melaksanakan syariat kita mestilah berilmu. Begitulah kepentingan ilmu kepada manusia.


Peristiwa Nuzul Al-Qur'an merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Qur'an yang terdapat peda hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Qur'an berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, Tahun ke -41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

"Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Qur'an adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada Umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Qur'an.

"Al-Qur'an" bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tajwid, Ibadat, Jinayat, Muamalat, Sains, Teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Qur'an, sering dicantumkan dengan rangkai kata "Al-Qur'an mukjizat akhir zaman" atau "Al-Qur'an yang mempunyai mukjizat". Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Qur'an tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Qur'an, dengan lain perkataan segalanya terdapat dalam Al-Qur'an.

 Firman Allah :



"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekorpun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada kami tinggalkan sesuatupun di dalam kitab Al-Qur'an ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An'am:38)"


Al-Qur'an adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi menusia. Segala isi kandungan Al-Qur'an itu benar. Al-Qur'an juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi. Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara hak dan batil. Dan Al-Zikr bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Qur'an yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq.