Assalamualaikum
HARI semalam hari AHAD ... semua ORANG tau...
HARI semalam hari BAPA .... semua BAPA-BAPA &
hampir semua ORANG tau
HARI semalam hari paling penting ...
agak-agak ramai ke yg tahu? 17/6 bersamaan 27 rejab 1433H PERISTIWA ISRA'
MIKRAJ .... Berikutan itu, satu artikel yang akan dikongsi bersama..
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta
para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab
umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan
Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah
Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan
Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah
S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua
fasa.
a) Israk
yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah
ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
b) Mikraj
ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah
diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang
bermaksud;
"Maha
Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al
Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah
S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama
tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya
berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada
jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami
daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi
'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana
meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia
berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi
"asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh
hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara
jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam
keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak
beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini
tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu
mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman
kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan
kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang
telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah
kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W
bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk
Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan
baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi
Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang
apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau
merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah
diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar
dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang
membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan
Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam
perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali
diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj
diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak
meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda
S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat
syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke
dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan
dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang
bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa
yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram
ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah
S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana
Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S.
menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S.
dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah
S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti
berikut :
a) Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai,
hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini
berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum
yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
b) Tempat
yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur
Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh
oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui
Fir'aun sebagai Tuhan).S
c) Sekumpulan
orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala
mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka
untuk sujud (sembahyang).
d) Sekumpulan
orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis
kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu
dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka.
e) Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan
daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
f) Lelaki
yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang makan riba.
g) Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah
lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah
tetapi masih menerima amanah yang lain.
h) Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu
yang dia sendiri tidak melakukannya.
i) Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail:
Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah
(mencela, menghinakan) orang.
j) Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya
semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur).
Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
k) Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian
kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
l) Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan
umurnya sampai ke tua.
m) Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari
kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun
daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua
rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa
Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu
lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus
Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari
syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat
ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan
Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina
lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik
tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi
Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu
dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit
keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima.
Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam.
Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah
mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda
sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh
dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang
sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada
Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa
dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka
berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu
LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S.
bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu
baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA
WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang
ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang
(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut
"al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang
tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun,
batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata
yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi
oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar
yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat
neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan
dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan
naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang
ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah
berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah
sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah
SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara
Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan
bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil
Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau
berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia,
syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia
dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih.
Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu.
Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku
beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh
ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku
berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di
bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan
amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka
Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan
umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa
menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh
Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan
jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima
waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia
semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan
pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu
dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa
Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj
bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali
27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di
sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi
perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan
pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada
kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj
ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan
dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj
juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan
peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita
kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan
ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu
Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan
kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah
dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil
ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat
bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa
(kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta
umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu
berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat
dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan
lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara
kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau
Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di
Palestin.
Di petik dari- Artikel iluvislam.com
Label: Agama
Catat Ulasan